PENYERANG sensasi negara, Mohd Safee Sali memberi amaran kepada Singapura dia kini sudah bersedia untuk menggegar pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.
Biarpun Safee masih belum mencapai tahap kecergasan terbaik namun sentuhan pemusnahnya masih berbisa dengan jaringan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua ketika Malaysia tumpas 6-3 kepada kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin.
Jaringan itu ternyata amat bermakna buat pemain berusia 27 tahun itu untuk menamatkan kemarau jaringan bersama Harimau Malaya memandangkan kali terakhir dia meledak pada final Piala Suzuki AFF menentang Indonesia Disember lalu.
“Syukur Alhamdulillah kerana kecederaan saya semakin pulih cuma apa yang saya perlu lakukan adalah meningkatkan semula tahap kecergasan agar dapat bermain selama 90 minit.


