Pages

Tuesday 7 December 2010

Jaguh Dunia


Pada suatu ketika di sebuah padang permainan, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang riang
bermain bola sepak. Kesemua bermain bagaikan lagak seperti pemain idola masing-masing.


Yang berminat menggelecek bola akan bermain sambil menyebut nama Lionel Messi. Yang suka
memperagakan kemahiran mengawal bola akan menyebut nama Zinedine Zidane. Tidak
ketinggalan yang menjadi penjaga gol pula berangan-angan seperti Iker Casillas, wira gawang Sepanyol. Setiap pasukan saling berbalas serangan menggunakan teknik-teknik yang mereka
tonton pada musim Piala Dunia baru-baru ini. Cukup menghiburkan untuk disaksikan. 
“Raju! Hantar bola itu kepada Lim!” jerit Lukman, ketua pasukan kumpulan berbaju terbalik.  “Ok!” sahut Raju sambil menyepak bola dengan kaki kirinya yang lebih kuat berbanding kaki
kanannya. Seterusnya kelihatan Lim berlari melepasi pertahanan kumpulan lawan dan kini
berada di posisi kiri hadapan pintu gol. Setelah bola berada di kakinya, terus sahaja dia menyepak ke hadapan pintu gol. Secara tiba-tiba Lukman meluru masuk dan menendang secara
terus ke arah kanan pintu gol.
“Debukkk!” bunyi bola ditendang oleh Lukman lantas gagal ditangkap dengan kemas oleh
Rashid, penjaga gol lawan.
“Goool!” jerit Lim. Terpancar rasa gembira yang tidak terhingga pada wajah-wajah pasukan
kumpulan berbaju terbalik. Sambil meraikan kejayaan di tengah padang, Lukman diserbu oleh
rakan-rakan sepasukan sehingga terbenam dek dikerumuni rakan-rakan. 
Namun di sebalik keriangan mereka, terpacul kesedihan Rashid. Sudah tiga kali gawangnya
dibolosi oleh pasukan Lukman pada hari itu. Rakan-rakan sepasukannya juga tidak berpuas hati
dengan prestasi Rasyid. Sambil menggeleng-geleng kepalanya, ketua pasukan Rashid mencekak
pinggang sambil memerhati Rashid. Tanda menyalahkannya.
”Aduh! Mengapalah nasib aku malang hari ini? Semua gerakan aku tidak menjadi,” bisik hati
Rashid. 
Kemudian perlawanan diteruskan seperti biasa. Permainan juga bertambah lancar bagi pasukan
Lukman, namun bukan bagi pasukan Rashid.  Sungguhpun dapat menjaringkan sebutir gol di
separuh masa kedua, ia tidak mencukupi untuk  menyaingi tiga gol awal pasukan Lukman.
Akhirnya perlawanan berkesudahan dengan empat gol berbalas satu. 
Setelah tamat perlawanan, pasukan Rasyid berkumpul dan menyalahkannya kerana melepaskan
empat gol mudah. 
“Kamu ini banyak buat kesilapan hari ini Rashid,” terang ketua pasukan Rashid. 
“Saya mohon maaf. Memang hari ini permainan saya tidak menjadi. Saya tidak tahu mengapa ini
berlaku,” jelas Rashid. 2
Tanpa disedari oleh mereka semua, perlawanan mereka disaksikan oleh seorang lelaki tua. Oleh
kerana rumahnya berdekatan dengan padang permainan, beliau selalu melihat kanak-kanak yang
bermain bola di situ. Melihatkan muka sugul Rashid ketika pulang selepas perlawanan tersebut,
beliau berjalan menghampirinya. Rashid bukannya orang asing. Jiran di hujung kampung beliau
sahaja.
“Rashid, mari datang ke sini,” ajak lelaki tua itu kepada Rashid ke tempat duduknya. 
Sambil berjalan dengan longlai, Rashid menghampirinya. 
“Kenapa pakcik?” tanya Rashid. 
Sambil menunjukkan isyarat agar Rashid  duduk di sebelahnya, beliau memulakan
percakapannya.
“Pakcik tengok kamu bermain bola tadi. Daripada apa yang pakcik nampak, gerakan kamu agak
aneh sebagai penjaga gol.”
“Aneh yang bagaimana itu pakcik?” soal Rashid.
Orang tua itu terus tersenyum, “Ya, aneh pakcik lihat. Anehnya gerakan Rashid menyerupai
pemain badminton. Sepatutnya Rashid menangkap bola tadi dengan kedua-dua tangan. Tetapi
pakcik lihat kamu menangkap dengan sebelah tangan. Kaki kamu pula pun begitu. Langkah
kamu sumbang.”
“Emm…begitu rupanya,” balas Rashid.
“Habis itu, apa yang perlu saya buat?” ujarnya lagi.
Orang tua itu tersenyum lagi lantas berkata,  “Pakcik lihat sebenarnya kamu mempunyai bakat
yang cemerlang jika bermain badminton. Ketinggian, kecergasan dan gerak langkah kamu amat
sesuai sebagai pemain badminton. Mahukah datang ke tempat pakcik hujung minggu ini?”
Rashid mengerut dahinya, “Badminton? Saya pernah main pakcik. Abang-abang saya semuanya
lagi hebat daripada saya. Saya bermain bola sepak ini pun kerana hendak mengelakkan daripada
dikalahkan oleh mereka. Akibat selalu kalah, saya sentiasa dihukum oleh bapa saya dengan
membasuh pakaian abang-abang saya.”
“Tapi mahukah kamu saya tunjukkan cara-cara bagaimana untuk mengatasi abang-abang kamu?”
pancing orang tua berkenaan.
Rashid termenung sebentar. Kemudian beliau bersuara, “Mahu itu memang saya mahu tapi…”
“Baguslah begitu. Tiada tapi tapi lagi. Hari Sabtu ini datang ke rumah saya pukul 9 pagi. Jangan
lupa bawa raket badminton.” 3
Rashid lalu mengangguk dan berjalan pulang.
 ---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pada pagi Sabtu yang dijanjikan, Rashid datang ke rumah lelaki tua. Kelihatan tiga orang kanakkanak sebaya dengannya juga berada di situ. Masing-masing membawa raket dan bekas
minuman sendiri. Sejurus itu, kelihatan lelaki tua itu keluar dari rumahnya lengkap dengan
berpakaian sukan.
“Selamat pagi semua. Selamat datang ke rumah pakcik.” 
“Selamat pagi,” jawab Rashid.
“Mari pakcik perkenalkan kepada semua. Ini Rashid. Dia akan bersama kita mulai hari ini.”
“Hai, selamat berkenalan semua,” ujar Rashid sambil bersalaman dengan setiap kanak-kanak di
situ.
“Hai, saya Cheah,” balas seorang.
“Hai, saya Soo,” sambung seorang lagi.
“Hai, saya Murali,” kata kanak-kanak yang terakhir.
Setelah selesai perkenalan, pakcik tua itu pun memulakan sesi latihan dengan latihan regangan
badan. Bermula dengan kepala, mereka memusing-musingkan kepala ke kanan, kemudian ke
kiri, hadapan dan ke atas dengan kiraan satu hingga lapan. Seterusnya regangan bahu dibuat
dengan memusing-musingkan bahu dengan tangan mencengkak pinggang. Gerakan ini bagi
melonggarkan sendi dan otot bahu yang selalu digunakan dalam permainan badminton.
Kemudian pinggang masing-masing diputar ke kanan, ke kiri, ke bawah dan ke belakang.
Sebelah kaki pula kemudiannya dilunjurkan ke hadapan dengan sebelah kaki lagi dilunjurkan ke
belakang. 
Setelah selesai senaman memanaskan badan,  lelaki tua itu menyuruh keempat-empat mereka
berlari padang bola sepak di hadapan rumahnya sebanyak lima pusingan. Maka berlarilah
kesemua mereka dengan bersungguh-sungguh. 
Pada pusingan ketiga, Rashid kelihatan tercungap-cungap. Memandangkan ini kali pertama dia
berlatih dengan lelaki tua itu, dia agak ketinggalan berbanding rakan-rakan pelatih lain.
Dengan nafas yang bergerak kencang, Rashid masih tidak berputus asa untuk menyaingi rakanrakan lain. Tamat sahaja larian lima pusingan itu, Rashid terus duduk, tanda kepenatan.
“Bangun!Bangun!” perintah lelaki tua itu. 4
“Jangan duduk lagi. Berjalan-jalan sahaja. Badan kamu sudah panas dan bersedia untuk latihan
seterusnya. Jika kamu duduk, badan kamu akan sejuk dan berada dalam keadaan rehat,” terang
lelaki tua itu.
Selepas kesemua pelatih menamatkan larian, lelaki tua itu mengarahkan mereka ke belakang
rumahnya. Rupa-rupanya di belakang rumahnya  terdapat dewan badminton yang dibinanya
sendiri. Dengan dua gelanggang di dalamnya, dewan ini kelihatan memang khas dibuat untuk
tujuan latihan.
“Baiklah, hari ini saya akan mengajar kamu bagaimana untuk berlari di dalam gelanggang.
Dengan kemahiran ini kamu boleh membalas pukulan lawan dengan cepat, mudah dan berkesan.
Pertama sekali ialah kukuhkan kekuda kamu. Ini boleh dibuat dengan membengkokkan sedikit
kedua belah kaki kamu dengan sebelah di hadapan dan sebelah kaki  lagi di belakang,” jelasnya
sambil menunjukkan gaya kekuda yang dimaksudkannya.
“Seterusnya ikut seperti yang saya buat,” katanya.
Beliau lantas berlari ke sisi kanan hadapan gelanggang kemudian patah balik di tengah
gelanggang. Selepas itu beliau berlari ke sisi kiri hadapan gelanggang pula dan patah balik ke
tengah gelanggang. Begitulah jua dilakukannya pada sudut kanan dan kiri gelanggang dan sudut
belakang gelanggang.
“Gerakan ini dinamakan Gerakan Bayangan. Ia  dinamakan sedemikian rupa kerana pemain
bergerak tanpa memukul bulu tangkis sebenar. Latihan diperlukan bagi memudahkan pergerakan
seseorang pemain. Ibarat sifir dalam matematik, Gerakan Bayangan ini adalah sifir dalam
permainan badminton. Tanpanya kita akan bergerak seperti anak ayam kehilangan ibu. Selain itu
kita dapat menjimatkan tenaga dan mempercepatkan tindak balas. Inilah salah satu rahsia
pemain-pemain negara China dapat menguasai  dunia badminton. Gerakan mereka kelihatan
cukup berseni dan lancar,” terangnya lagi.
Selesai sahaja penerangan, Rashid dan rakan-rakan sepelatihnya berlatih memahirkan Gerakan
Bayangan tersebut. Banyak kali jugalah kesilapan berlaku seperti langkah kaki yang tidak seperti
diajar dibuat. Dibuat dengan kiraan tiga pusingan untuk setiap satu set, sesak jugalah nafas setiap
pelatih dibuatnya dengan gerakan itu. 
Kira-kira tiga puluh minit kemudian selesailah latihan untuk sesi pagi. Mereka kemudiannya
berehat sambil minum daripada bekas air yang dibawa masing-masing. 
“Baiklah, kita berhenti dahulu  setakat ini. Petang hari nanti, datang semula pada pukul lima
petang. Kita akan berlatih jenis-jenis pukulan pula. Selepas itu kita akan buat multi-shuttle drill’
pula. Akhir sekali kita berlawan sesama kita,” terang lelaki tua itu.
Begitulah latihan yang dilalui oleh Rashid setiap hari Sabtu dan Ahad. Bersama rakan barunya
Cheah, Soo dan Murali, mereka berguru dengan lelaki tua itu tanpa jemu. 5
 ---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sepuluh tahun kemudian...
Keadaan Stadium Bukit Jalil cukup sesak dengan orang ramai. Ramai yang datang berpusu-pusu
untuk melihat wira negara dalam perlawanan akhir Piala Thomas. Setelah berjaya
menumbangkan Tembok Besar China sebelum ini, pasukan Malaysia seperti di awangan. Antara
mencipta sejarah atau mengulangi sejarah. Lagu ‘Malaysia Boleh’ dendangan kumpulan muzik
Kosmopolitan berkumandang di seluruh stadium. Kelihatan sepasukan kumpulan sorak, lengkap
berbaju bendera Malaysia sedang riang ria berlatih kompang. Di sebelah kanan stadium pula
kelihatan pasukan gendang Cina berkumandang,  siap dengan tarian naganya. Manakala di
sebelah kiri stadium, pasukan muzik India juga sibuk dengan tiupan serunai dan gendangnya.
Tempat duduk stadium juga penuh dengan kehadiran para dif-dif jemputan dan para penonton
dari pelbagai kaum. Ada yang membawa kain rentang menyatakan sokongan kepada pasukan
Malaysia. Ada yang siap membawa seluruh keluarga hadir bersama dari datuk kepada cucu.
Bagi yang tidak dapat hadir ke stadium, masing-masing sudah terpacak di hadapan televisyen.
Hinggakan tiada kenderaan yang lalu lalang di jalan raya. Di kedai kopi pun begitu jua. Seluruh
warganegara Malaysia tidak kira apa jua bangsa begitu berdebar-debar menantikan perlawanan
akhir bermula. Bagi kanak-kanak, ramai yang mendapat semangat dan inspirasi dengan kejayaan
pasukan negara. Boleh dikatakan rata-rata ingin menjadi pemain badminton. 
Di kedai-kedai pula, banyak stok raket, bulu tangkis dan jaring badminton telah habis terjual. Di
merata tempat, topik perbincangan tertumpu kepada sukan badminton. Hinggakan semua isu lain
diketepikan. 
Bagi pasukan Indonesia pula, menegak bulu roma mereka di dalam stadium dengan hingar
bingar rasa kesatuan hati para penonton dengan para pemain. Habis tercabut rasa berani mereka
melihatkan kesungguhan dan sokongan padu yang diterima oleh pasukan Malaysia.
Kesemua keadaan ini bagai mengulangi kembali  kisah kemenangan Piala Thomas pada tahun
1992 yang lalu. 
Tapi di mana watak-watak utama kita pada hari yang bersejarah ini?
Watak-watak utama tersebut adalah seperti berikut:
Rashid = Rashid Dahlan, pemain perseorangan pertama Malaysia.
Cheah  = Cheah Suu Kiat, pasangan beregu kedua Malaysia.
Soo      = Soo Beng Liang, pasangan beregu kedua Malaysia.
Murali  = Pengurus pasukan Malaysia. 6
Lukman = Ketua pasukan sorak Malaysia.
Raju       = Penjaga garisan.
Lelaki tua = Yang Ying, bekas jurulatih negara.
Lim        = Pegawai perubatan pasukan Malaysia.
Seperti yang dijangkakan, perlawanan akhir telah dimenangi oleh pasukan Malaysia dengan
keputusan 5 – 0. Bukan setakat itu sahaja, kejayaan ini rupanya permulaan penguasaan Malaysia
di arena dunia badminton untuk lima edisi Piala Thomas seterusnya dan kejohanan-kejohanan
utama lain. Tahniah Malaysia! Malaysia Boleh! 
                                                                      -salehuddin md. dahlan-

No comments:

Post a Comment