Pages

Monday 13 December 2010

Pada Suatu Ketika Di Hujung Madini

Seorang lelaki sedang berjalan terbongkok-bongkok menuju ke rumah Penghulu Abdul Majid pada suatu malam dalam hujan lebat dan ribut kencang. Berpakaian daun nipah yang dijalin dengan urat halus rotan segara dan berterendak mengkuang paya sebagai baju hujan, lelaki itu mengatur langkah bongkok penuh yakin sehingga tiba di kaki tangga rumah Penghulu Kampung Batu Sawar itu. Kemudian dia mengetuk pintu bertalu-talu.


"Siapa itu?"

"Saya musafir yang ingin tumpang berteduh, Tuk Penghulu."

Daun pintu terkuak. Penghulu Abdul Majid muncul di muka pintu. Wajahnya yang tenang berubah serta-merta.

"Ishak? Kaukah Tun Ishak?"

"Ya, saya Tun Ishak. Assalamualaikum, bapak," jawab lelaki itu sambil menanggalkan terendaknya. Wajah tampannya menghadiahkan sebuah senyuman.

"Waalaikumussalam. Masuklah, Ishak. Hujan semakin lebat. Nanti kau demam."

Tun Ishak masuk ke dalam rumah bapa mertuanya itu.

"Kenapa kau datang dalam keadaan cuaca begini?"

"Sahabat saya, Temenggung Daeng Abdul Rahman telah mengisytiharkan perang terhadap pasukan saya. Dia menghantar Daeng Ibrahim agar memburu kepala saya untuk dipersembahkan kepada Raffles yang sedang beraja di Singapura sekarang. Pasukan saya telah diserang hendap di Ulu Sedili setelah berpindah dari Tanjung Penawar. Mereka bergabung dengan askar-askar Pahang. Kami tidak mampu bertahan lama. Saya arahkan orang-orang saya supaya berundur ke tempat baru yang akan menjadi markas kami."

"Bagaimana keadaan Kesumawati?" Tanya Ibu Kuntum, risau akan nasib anak perempuannya.

"Kesuma sedang hamil dua purnama. Saya minta dia pergi ke Kota Lingga untuk mengambil anak saya, Tun Mamat, daripada Syed Zainal dan membawanya balik ke kampung asal saya, Kampung Makam Duyong di Karimun Kecil. Ibu jangan risau. Kesuma ditemani Wan Belitung, Jaka Pirani, Ratna Ayu dan Hartini. Saya telah minta mereka agar berkampung di sana dan tunggu sehingga saya pulang."

Ibu Kuntum menarik nafas lega.

"Ke mana tujuan kau selepas ini, Ishak?"

"Ampun maaf, bapak. Saya tidak boleh beritahu kerana ia melibatkan siasah saya. Tujuan saya singgah sebentar di Batu Sawar bukan untuk membincangkan siasah perang dengan bapak, tetapi untuk memberitahu bapak dan ibu akan hal keadaan Kesumawati. Saya ingin dia berkampung di Makam Duyong dan beranak cucu di sana. Jika berlaku sesuatu kejadian ke atas diri saya, moga zuriat bapak daripada titisan saya akan berkunjung ke Batu Sawar untuk mencari sanak saudaranya."

"Kau bercakap seolah-olah akan pergi ke perang yang penghabisan, Ishak."

"Saya tidak berperang dengan Temenggung. Saya berperang dengan Inggeris dan Belanda yang begitu bersungguh untuk merampas kuasa politik dan ekonomi peribumi alam Melayu ini. Temenggung hanya menjadi alat Inggeris bila dia sedar yang Sultan Abdul Rahman di Lingga semakin lemah dan mula menyerah kepada Belanda. Sultan Husain yang beraja di Singapura pula bukan sultan yang sebenar kerana dia dilantik oleh Inggeris dan bukan dimasyhurkan oleh pembesar yang mewakili rakyat jelata. Bapak, jangankan Temenggung, Sultan pun akan saya pancung jika dia sanggup menjadi alat kuasa asing yang ingin melemahkan kuasa Melayu di alamnya sendiri."

"Awas mulutmu, Ishak. Nanti ada telinga yang mendengar."

"Penyuluh Inggeris dan Temenggung berada di mana-mana, bapak. Saya tidak takut dengan mereka. Bapak, kita sekarang berada di hujung zaman pemerintahan raja berdarah Bendahara Tun Habib Saujana. Kerajaan Lingga pula sudah terbelah dua. Sultan Abdul Rahman telah mengizinkan Belanda menaikkan benderanya di Tanjung Pinang. Abangnya, Sultan Husain telah membenarkan Inggeris mengibarkan benderanya di Singapura. Apa makna semua ini, bapak? Saya sebagai rakyat jajahan Johor ini tidak tergamak melihat orang-orang asing merampas tanah air milik kita. Sebab itu saya bangkit memimpin sahabat-sahabat saya dan sekutu-sekutu perniagaan saya supaya maju memerangi kuasa-kuasa asing itu. Ini negeri kita, ini tanah kita, ini laut kita. Saya tidak berniat untuk menjadi raja. Saya hanya ingin rakyat negeri ini insaf bahawa raja telah tidak berdaya dan pemimpin baru mesti diangkat untuk membela nasib mereka."

"Engkau bercita-cita tinggi, Ishak. Bapak tidak mampu menyokong perjuanganmu dengan kudrat bapak sekarang. Namun, bapak akan membakar semangat pemuda-pemudi kampung ini supaya bercita-cita untuk membela nasib bangsa seperti yang kau selalu ceritakan kepada mereka semasa mula-mula kau sampai di kampung ini dulu."

"Kata-kata bapak akan meneguhkan jiwa dan pendirian saya. Bapaklah bapa saya dan Ibu Kuntumlah ibu saya. Saya mohon restu bapak dan ibu untuk ke medan perang pada pagi esok sebelum matahari terbit."

"Pergilah Ishak, bapak dan Ibu Kuntum merestui perjuanganmu."

Pada keesokannya, setelah mengimamkan solat subuh berjemaah dan memohon izin, Tun Ishak meninggalkan Batu Sawar untuk menyertai pengikut-pengikutnya yang sedang berkubu di Tanjung Puteri.

Tun Ishak berjalan menyusuri tebing Sungai Johor.

Dia terkenang peristiwa Kampung Makam Duyong yang telah dibedil oleh Belanda pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud III kerana baginda enggan bekerjasama dengan Belanda untuk memerangi lanun-lanun yang bermaharajalela merompak kapal-kapal dagang negara Barat di Kepulauan Melayu khususnya di Selat Melaka.

Di dalam serangan itu, isterinya terbunuh, manakala anak lelaki tunggalnya terselamat. Dia sendiri telah ditangkap oleh askar-askar Belanda dan dibawa ke atas kapal untuk disoalsiasat oleh Kapten Anton Van Breock. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan Kapten Van Breock kerana tidak faham Bahasa Belanda, menyebabkan pegawai Belanda itu marah dan menikam tulang belikatnya dengan kerisnya sendiri. Dia jatuh pengsan dan dicampak ke dalam laut.

Dia terdampar di pantai Kampung Makam Duyong dan diselamatkan oleh orang-orang kampung. Bila terjaga dari pengsan, dia tidak dapat berdiri tegak kerana masin air laut telah memakan urat daging belikatnya yang luka. Dia terpaksa berjalan terbongkok-bongkok. Mulai detik itu, dia dikenali sebagai Si Bongkok Makam Duyong.

Tun Ishak telah menyimpan dendam dan bersumpah untuk memusnahkan seluruh angkatan Belanda, menghalau kuasa-kuasa asing dari Kepulauan Melayu dan berusaha memulihkan kedaulatan raja-raja Melayu.

Dia berasa puas kini kerana dendamnya terhadap Van Breock telah berbalas. Pegawai Belanda itu telah dibunuhnya di dalam sebuah pertempuran laut terbuka berhampiran Pulau Tioman. Kumpulan flotilla Belanda yang dipimpin oleh Kapten Van Breock semasa dalam pelayaran ke Makasar itu telah ditenggelamkan.

Perbuatan Tun Ishak itu telah mengundang murka Belanda. Belanda telah menuntut agar Sultan Abdul Rahman dan Yam Tuan Muda Raja Jaafar mengerahkan askar Lingga memerangi pasukan Tun Ishak. Sultan dan Yam Tuan Muda berasa serba salah kerana Tun Ishak adalah sahabat mereka semenjak kecil dan pernah menjadi panglima di dalam pasukan askar Lingga. Banyak jasanya yang telah dicurahkan kepada Istana Kota Lingga yang tidak boleh dilupakan begitu sahaja semata-mata untuk mengabulkan kehendak Belanda.

Tun Ishak berhenti berjalan apabila tiba di sebuah tanjung. Di gigi air, sebuah rakit dan sebuah perahu sedang berlabuh. Dua orang pengikutnya sedang menunggu di bawah sepohon ara yang rendang. Tun Ishak menghampiri mereka. Mereka berdiri menyambut kedatangannya. Tun Ishak menyerahkan segulung kertas berikat benang sutera cina kepada salah seorang daripada mereka.

"Beritahu Nagesh, tunggu saya di Pasir Pelangi. Pesan kepada Huang Pui Nam, saya menyuruh dia mengambil bekalan istinggar dan ubat bedil dari kolek Belanda yang ditawan di Kukup dan simpan dulu di kedai kopinya di Setulang. Kolek itu sedang dikawal oleh orang kita di Pulau Pisang. Raja Mustafa, semua kelengkapan mesti dikumpulkan di Tanjung Puteri. Warkah ini mengandungi perintah dan rajah. Ikut arahan yang saya nyatakan di dalamnya. Saya mewakilkan kuasa saya kepada tuan di dalam perkara ini sehingga saya tiba di Tanjung Puteri."

Setelah bertukar salam, Raja Mustafa meninggalkan Tun Ishak dan rakannya. Raja Mustafa ialah sepupu Raja Jaafar, Yam Tuan Muda Kerajaan Lingga, yang kini sudah tiada kuasa menasihatkan Sultan kerana Sultan telah tunduk kepada Belanda yang berkuasa di Betawi. Dia telah mengambil keputusan meninggalkan istana dan menyertai perjuangan Tun Ishak serta bercita-cita untuk mengembalikan kegemilangan raja-raja Melayu.

KemudianTun Ishak menggesa rakannya supaya meninggalkan tanjung itu.

"Saya suka berjuang di sisi tuan kerana tuan telah mengingatkan saya kepada Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang pernah menggempur Belanda di Melaka."

"Usah diungkit sejarah silam, Tawi. Walaupun tuan berhak berasa bangga dengan Sultan Iskandar kerana tuan berasal dari Aceh, tetapi kebanggaan tuan tidak boleh menebus kesilapan baginda yang pernah membakar seluruh armada Johor di perairan Sungai Johor ini. Namun, saya akui bahawa kita harus mengambil iktibar dari sejarah nenek moyang kita dan kita hendaklah tidak mengulangi kesilapan tersebut. Ayuh Tawi, mari kita bergerak."

Teuku Tawi berperahu ke Senibong, manakala Tun Ishak berakit ke Pasir Pelangi.

Semasa berakit, Tun Ishak teringat pertemuannya dengan Temenggung Daeng Abdul Rahman di Teluk Belanga dahulu. Dia ingin meminta penjelasan di atas tindakan Temenggung yang telah bersekongkol dengan Tengku Husain untuk mendapatkan sokongan Inggeris memasyhurkan Tengku Husain sebagai Sultan bagi jajahan Singapura dan Johor.
"Tun Ishak, setiap anak Melayu yang sedar tentang nasib bangsanya pada zaman ini mesti memiliki sikap sendiri yang tidak perlu lagi tunduk setia kepada raja-raja Melayu. Raja semakin lemah bila berhadapan dengan kuasa asing. Kita sebagai anak Melayu tidak suka melihat raja kita tunduk kepada kuasa luar. Sebaliknya, jika raja kita dapat berfikir, merancang dan melaksanakan satu kaedah yang boleh memajukan bangsa melalui hubungan baik dengan kuasa asing itu, kita rasa, bangsa Melayu wajib bangun membantu raja-raja mereka."

Tun Ishak mengagumi wawasan Temenggung.

"Datuk Temenggung, Raffles sama sekali tidak akan mematuhi perjanjian yang telah dimeterai dengan Datuk dan Sultan Husain."

"Kita tahu hal itu, tetapi kita tidak pernah bawa berbincang dengan Sultan."

Tun Ishak terkejut dengan sikap Temenggung. Pada ketika itu, Tun Ishak mula sedar bahawa Temenggung sedang merangka satu rencana agung yang tidak ingin dikongsi bersamanya.

"Datuk, walaupun Datuk telah bersahabat baik dengan Inggeris, saya bertegas bahawa saya tetap akan menentang sebarang kuasa asing yang ingin merampas negeri-negeri Melayu daripada peribuminya, tidak kira Feringgi, Belanda, Inggeris atau Sepanyol."

"Kita menghormati pendirian Tuan Panglima."

Malam terang disinari bulan purnama penuh. Purnama yang merindu tidak putus-putus merintih meminta cinta, merayu kasih dan terus merindu kepada malam yang kusam.

Dari lereng Bukit Puteri, Tun Ishak dapat meninjau keadaan kubu pertahanan yang dibina oleh pengikut-pengikutnya. Kubu batang seligi empat lapis telah dinaikkan di sekeliling kaki Bukit Puteri. Sebanyak lima belas buah meriam Belanda, dua puluh satu buah meriam Inggeris dan empat buah meriam Feringgi telah dihalakan ke perairan Selat Tebrau. Meriam-meriam itu telah dirampas dalam satu siri kempen perang terhadap Belanda dan Inggeris yang dilancarkan oleh Tun Ishak semenjak dia bersara dari perkhidmatan pasukan askar Lingga. Meriam-meriam itu akan digunakan untuk mematahkan serangan armada Inggeris.

Di bawah sana, tebing timur dan barat muara Sungai Seget telah dipagari kubu batang bakau. Pasukan pemanah dan istinggar sedang berkubu di situ untuk mematahkan serangan darat angkatan Daeng Ibrahim.

Cahaya api dari rumah orang-orang kampung di seberang sana Pulau Singapura kelihatan berbalam-balam. Angkatan Daeng Ibrahim mungkin akan berlepas dari Kampung Keranji untuk mendarat di Tanjung Puteri. Kapal-kapal perang Inggeris pimpinan Kapten Ian Blight yang sarat dengan muatan alat-alat perang akan muncul dari timur dan barat Selat Tebrau untuk memberi sokongan tembakan meriam kepada pasukan Daeng Ibrahim.

Taktik perang seperti itu dapat dibaca oleh Tun Ishak berdasarkan ilmu peperangan negara Barat yang diperolehi semasa dia menjadi askar Lingga yang menerapkan organisasi dan taktik ketenteraan Belanda.

Angin malam bertiup lunak mengirimkan perasaan dingin di dalam kalbu. Perasaan dingin itu diimbangi rasa puas hati setelah dia berjaya menikahkan sepasang kekasih di dalam pasukannya dua malam lalu. Dia menjadi wali hakim kepada pengantin perempuan yang yatim piatu. Pengantin perempuan itu rajin menjaga dan memenuhi keperluan pasukannya. Pengantin lelaki pula adalah seorang pengikut setia yang sering menjadi penyuluh untuk misi-misi berbahaya.

Tun Ishak kembali ke pusat arahan medan di puncak Bukit Puteri.

Seorang penyuluh telah lama menunggu ketibaannya. Penyuluh yang baru menjadi raja sehari itu melaporkan bahawa Inggeris telah bekerjasama dengan Belanda untuk menghancurkan pasukan mereka. Armada Inggeris yang bantuannya diminta oleh Daeng Ibrahim akan disertai sebuah ghali Belanda yang berperanan sebagai kapal bekalan.

Belanda tidak dibenarkan terlibat secara aktif dalam pemburuan Tun Ishak di dalam kawasan pengaruh Inggeris seperti yang telah dipersetujui kedua-dua pihak di dalam perjanjian penyerahan Melaka oleh Belanda kepada Inggeris.

"Api dendam Belanda kepada saya tidak pernah padam selagi saya masih hidup. Esok kita akan padam api dendam mereka."

Daeng Ibrahim tahu bahawa dia telah ditipu oleh Tun Ishak, guru silatnya sendiri. Penyuluh-penyuluh Temenggung di Pasir Panjang melaporkan bahawa Tun Ishak sedang dalam perjalanan berperahu ke Senibong. Mereka segera memasang perangkap di Senibong. Malangnya, Tun Ishak tidak muncul di Senibong pada masa yang dijangkakan.

Orang yang mereka sangkakan Tun Ishak sebenarnya ialah Teuku Tawi, seorang bekas pejuang Aceh yang berkampung di Kampung Perigi Aceh.

Pada masa yang sama mereka menemui Teuku Tawi, Tun Ishak telah selamat tiba dengan berakit di Pasir Pelangi. Nagesh menyambut ketibaannya. Dari situ, mereka berjalan kaki ke Setulang untuk mengambil bekalan istinggar dan ubat bedil di kedai kopi Huang Pui Nam. Dari Setulang, Tun Ishak dan beberapa orang pengikut mengusung bekalan senjata mereka dengan berkereta lembu ke Tanjung Puteri.

Bila tiba di Tanjung Puteri, Tun Ishak berasa kagum melihat kubu batang bakau teratur kemas memagari muara Sungai Seget. Dari kawasan pantai, dia boleh melihat kubu batang seligi membentengi Bukit Puteri.

Raja Mustafa telah melaksanakan perintahnya dengan cemerlang.

Tun Ishak tidak peduli jika Daeng Ibrahim berasa tertipu dan diper*****kan dengan helahnya. Dia percaya bahawa anak muridnya itu akan mengatur strategi baru untuk melancarkan serangan berskala besar dengan bantuan Inggeris.

Perang meletus juga.

Daeng Ibrahim melancarkan pasukan perahunya dari Kampung Keranji. Tiga buah friget Inggeris dan sebuah ghali bekalan Belanda terapung di perairan Selat Tebrau. Kapal-kapal Inggeris melancarkan serangan meriam membedil kubu Tanjung Puteri. Meriam-meriam di atas Bukit Puteri berdentum tidak putus-putus membalas serangan kapal-kapal Inggeris.

Pasukan Daeng Ibrahim berjaya mendarat di pantai Tanjung Puteri. Peluru-peluru istinggar dan anak-anak panah menyambut ketibaan pasukan mereka. Mereka segera mengeluarkan perisai dan merapatkan barisan untuk membentuk kubu perisai. Pasukan istinggar Daeng Ibrahim membalas serangan pasukan pantai Tun Ishak dari sebalik kubu perisai.

Setelah peluru habis, kedua-dua pihak bertempur amuk secara bersemuka dan bertarung silat. Keris, badik, kelewang, parang, pedang, tombak, belantan, menjadi senjata membunuh musuh.

Di dalam sebuah pertempuran yang seru, kubu Tanjung Puteri runtuh. Tun Ishak dapat merasakan kekalahan yang bakal diterimanya. Dia segera memerintahkan orang-orangnya supaya berundur dan berlindung di Ulu Danga, Ulu Sekudai atau Ulu Pulai. Mereka dihambat oleh askar-askar Temenggung dan Inggeris.

Tun Ishak tidak mengikut orang-orangnya berundur. Dia terlibat di dalam pertarungan satu lawan satu dengan Daeng Ibrahim di puncak Bukit Puteri. Pertarungan mereka disaksikan oleh Raja Mustafa dan beberapa orang perajurit kanan Daeng Ibrahim.

Akhirnya, Tun Ishak tewas kepada muslihat ilmu persilatan Daeng Ibrahim yang dia sendiri ajarkan. Dia terbunuh di tangan anak muridnya itu. Daeng Ibrahim segera memangku kepala gurunya.

"Ampunkan saya, Tuan Panglima. Saya terpaksa melaksanakan perintah Datuk Temenggung."

"Inggeris meminta Temenggung menghabiskan kerja ini kerana Sultan telah hilang wibawa," kata Tun Ishak lemah. Sebelum meninggal dunia, Tun Ishak telah berwasiat kepada Daeng Ibrahim supaya mengikut rencana agung yang telah ditetapkan oleh Temenggung Daeng Abdul Rahman. Jajahan Johor memerlukan satu kepimpinan baru yang lebih kuat daripada kuasa raja-raja. Tun Ishak menggenggam kukuh tangan Daeng Ibrahim.

"Merdeka!"

Ucapnya lemah sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kepalanya terkulai layu di lengan Daeng Ibrahim. Jenazah Tun Ishak telah disemadikan di lereng Bukit Puteri yang menghadap Pulau Singapura mengikut istiadat ketenteraan askar Lingga di atas permintaan Raja Mustafa.

Daeng Ibrahim membawa pulang kemenangan untuk dihadiahkan kepada Temenggung Daeng Abdul Rahman. Raffles memuji-muji Daeng Ibrahim. Tidak berapa lama kemudian, Temenggung Daeng Abdul Rahman meninggal dunia. Daeng Ibrahim menggantikan bapanya dengan memakai gelaran Temenggung Seri Maharaja Johor Daeng Ibrahim.

Ratu Victoria yang bersemayam di Kota London berkenan mengiktiraf jasa Temenggung Ibrahim. Di dalam satu istiadat kebesaran yang gilang-gemilang, Temenggung Ibrahim telah dianugerahkan oleh Gabenor Butterworth sebilah pedang keemasan di atas jasanya yang telah menolong Inggeris menumpaskan lanun-lanun di perairan Kepulauan Melayu.

Temenggung Ibrahim mendapati bahawa di atas mata pedang itu tertulis sepotong ayat yang bermaksud,

'Inilah hadiah Baginda Ratu yang disampaikan oleh Gabenor Butterworth yang memerintah Pulau Pinang, Melaka dan Singapura, kepada Temenggung Seri Maharaja Johor, sebagai satu tanda hidup di atas jasanya membinasakan lanun dan perompak, adanya.'
                                                                                             -mohamas-

No comments:

Post a Comment