Pages

Friday 24 December 2010

Kemusnahan Habitat

Kemusnahan habitat ialah proses yang menyebabkan sesebuah habitat semula jadi hilang keupayaannya untuk menampung spesies-spesies yang sedia ada. Dalam proses ini, organisme-organisme yang pernah menggunakan tapak habitat ini kehilangan tempat tinggal atau dimusnahkan, maka berkuranganlah biodiversitinya. Kemusnahan habitat akibat kegiatan manusia, terutamanya bertujuan meneroka sumber alam untuk pengeluaran industri dan pembandaran. Pembersihan habitat untuk tujuan pertanian ialah punca utama kemusnahan habitat, di samping juga kegiatan perlombongan, pembalakan, penundaan dan rebakan bandar. Kemusnahan habitat kini merupakan punca kepupusan spesies yang paling utama di seluruh dunia.Beginilah proses perubahan alam sekitar yang penting dalam pemahaman evolusi dan biologi pemuliharaan. Punca-punca lain termasuk fragmentasi habitat, proses geologi, perubahan iklim, spesies penceroboh, perubahan khasiar ekosistem dan kegiatan manusia.
Istilah "kehilangan habitat" dan "pengurangan habitat" juga digunakan untuk erti yang lebih luas, termasuk kehilangan habitat akibat faktor-faktor lain seperti pencemaran air dan bunyi.



Secara ringkasnya, apabila musnahnya sesebuah habitat, maka berkurangnya keupayaan muatan bagi tumbuh-tumbuhan, haiwan-haiwan, dan hidupan-hidupan lain yang menduduki habitat tersebut, maka bilangan hidupan-hidupan tersebut semakin berkurangan dan kian pupus.Mungkin sekali, ancaman terbesar terhadap organisme dan biodiversiti ialah proses kemusnahan habitat.Temple (1986) mendapati bahawa 82% daripada spesies burung terancam amat terancam oleh kehilangan habitat. Hidupan-hidupan endemik yang tinggal dalam kawasan terhad juga paling teruk terjejas oleh kemusnahan habitat, terutamanya kerana hidupan-hidupan tersebut tidak dijumpai di mana-mana tempat lain di dunia, oleh itu lebih sukar untuk pulih, tidak lupa juga kebanyakan hidupan endemik agak cerewet keperluannya untuk bermandiri, oleh itu hanya boleh ditemui dalam sebuah ekosistem yang tertentu, maka pupuslah hidupan itu. Kemusnahan habitat juga boleh mengurangkan liputan kependudukan hidupan yang tertentu, maka boleh mengakibatkan berkurangnya kepelbagaian genetik dan mungkin sekali penghasilan anak hidupan yang mandul, kerana hidupan-hidupan induknya mungkin berkemungkinan lebih besar mengawan dengan saudara-saudari sendiri dalam spesiesnya, atau spesies yang berlainan.
Kemusnahan habitat yang berpunca dari kegiatan manusia termasuk penggunaan tanah untuk tujuan pertanian, rebakan bandar, pembangunan prasarana, dan bermacam-macam lagi perubahan buatan manusia kepada kecirian tanah. Degradasi, fragmentasi dan pencemaran habitat merupakan aspek-aspek pencemaran akibat manusia yang tidak semestinya melibatkan pemusnahan habitat terang-terangan, namun tetap mengakibatkan keruntuhan habitat. Penggurunan, pembasmian hutan, dan penjejasan terumbu karang masing-masing merupakan jenis-jenis kemusnahan habitat yang boleh dialami oleh gurun, hutan, dan terumbu karang.
Geist dan Lambin (2002) mentaksir 152 kajian kes mengenai kehilangan bersih liputan hutan tropika untuk menentukan apa-apa corak dalam punca-punca langsung dan tidak langsung bagi pembasmian hutan tropika. Hasilnya, yang diberi sebagai peratusan kajian kes yang mana setiap parameter mewakili faktor penting, memberikan pengutamaan kuantitatif bagi punca-punca langsung dan tidak langsung yang mana paling penting. Punca-punca langsung diguguskan menjadi kategori-kategori am iaitu perluasan pertanian (96%), perluasan infrastruktur (72%), dan pengekstrakan kayu (67%). Justeru, menurut kajian ini, penukaran hutan kepada tanah pertanian ialah perubahan kegunaan tanah utama yang menyebabkan pembasmian hutan tropika. Kategori-kategori khas pula memperluaskan pandangan terhadap punca-punca pembasmian hutan tropika yang terperinci, iaitu: perhubungan pengangkutan (64%), pengekstrakan kayu komersik (52%), pertanian tetap (48%), penternakan lembu (46%), pertanian tebas dan bakar (41%), pertanian sara diri (40%), dan pengekstrakan kayu api untuk kegunaan peribadi (28%). Daripada itu, nampaknya pertanian pindah bukan punca utama pembasmian hutan di seluruh dunia, sebaliknya perhubungan pengangkutan (termasuk pembinaan jalan raya baru) merupakan faktor langsung tunggal terbesar yang mengakibatkan kemusnahan hutan.

No comments:

Post a Comment